Pesara tentera Zahari Abdullah bersama isteri Tuan Tah Tuan Yeh menghiasi replika meriam dibaluti dengan Jalur Gemilang di laman rumahnya di Kampung Kubang Bongor Melor, Kota Bharu pada 13 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALRENCANA

Pesara tentera berhabis RM700 beli Jalur Gemilang, bina replika meriam

KOTA BHARU, 13 OGOS: Walaupun hampir 40 tahun bersara sebagai tentera, Zahari Abdullah tetap bersemangat untuk menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan mencipta replika meriam menggunakan Jalur Gemilang dan meletakkannya di tepi sawah padi berdekatan rumahnya.

Menariknya, usaha itu bukan sahaja dilakukan bersendirian malah pesara berusia 70 tahun itu turut dibantu isterinya Tuan Yah Tuan Yeh, 63, yang juga pesara jururawat.

“Idea saya dan isteri untuk buat replika  ini sentiasa ada apabila masuk Bulan Kebangsaan sebagai contoh tahun lepas, kami buat replika wau bulan.

“Jadi untuk tahun ini, kelainan yang kami cuba tampilkan adalah mereka cipta replika meriam menggunakan bahan-bahan terpakai dengan dihiasi Jalur Gemilang untuk diletakkan di tepi sawah padi dekat rumah saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Kubang Bongor Melor, di sini, baru-baru ini.

Pesara tentera Zahari Abdullah bersama isteri Tuan Tah Tuan Yeh membelanjakan RM700 membeli Jalur Gemilang untuk menghiasi laman rumah di Kampung Kubang Bongor Melor, Kota Bharu pada 13 Ogos 2022. Foto BERNAMA

Zahari yang berkhidmat selama 13 tahun dalam bidang ketenteraan berkata antara bahan terpakai yang digunakan ialah tayar, buluh, kayu papan lapis dan besi bagi membentuk meriam serta membalutnya dengan Jalur Gemilang.

“Usaha ini akan terus dilakukannya bersama isteri untuk memupuk semangat cintakan tanah air terutama kepada generasi kini.

“Kalau bukan kita siapa lagi yang mahu lakukan kepada generasi sekarang. Walaupun mereka ini tidak pernah hidup zaman penjajah tetapi semangat kibarkan Jalur Gemilang perlu disemai dalam jati diri anak-anak muda,” katanya yang membelanjakan RM700 untuk membeli Jalur Gemilang.

Sementara itu, Tuan Yah mencadangkan supaya pihak kerajaan dan agensi terus mempergiatkan aktiviti untuk menyemarakkan Bulan Kebangsaan ini.

“Kalau boleh jangan tunggu Bulan Kebangsaan sahaja baru nak adakan pertandingan atau aktiviti. Setiap bulan perlu wujudkan program-program yang boleh menyemai semangat cintakan negara,” katanya.

— BERNAMA

Pesara tentera Zahari Abdullah bersama isteri Tuan Tah Tuan Yeh memasang Jalur Gemilang di di tepi sawah padi berdekatan rumah di Kampung Kubang Bongor Melor, Kota Bharu pada 13 Ogos 2022. Foto BERNAMA

Pengarang :