EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berucap merasmikan Kejohanan Piala Budak Kampung di Eco Ardence Football Arena, Setia Alam pada 27 Ogos 2022. Foto Ihsan Pejabat EXCO Sukan
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Piala Budak Kampung diperluas ke daerah, cungkil bakat sukan akar umbi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kejohanan Piala Budak Kampung yang dianjurkan untuk pemain amatur bola sepak dan bola jaring untuk menunjukkan bakat diperluas ke seluruh daerah, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata inisiatif tersebut antara usaha untuk mencungkil pelapis baharu yang boleh ditampilkan untuk beraksi di peringkat lebih tinggi dan profesional.

“Dalam kejohanan ini ada pencari bakat yang datang untuk menilai kebolehan pemain, jadi peserta boleh membuktikan kemampuan mereka dengan beraksi sebaiknya.

“Kita rancang untuk anjurkannya lagi dan perluas ke daerah lain, mungkin di Sabak Bernam ada pasarannya sendiri…begitu juga dengan Sepang,” katanya selepas merasmikan Piala Budak Kampung di Eco Ardence Football Arena di sini, semalam.

Mohd Khairuddin berkata kejohanan itu mendapat sambutan mengalakkan dengan penyertaan 95 pasukan bola sepak dan 40 pasukan bola jaring dari sembilan daerah.

“Kejohanan ini memberi ruang kepada pemain dari taman perumahan atau kampung yang tidak berpeluang bermain di liga profesional untuk menunjukkan bakat.

“Kita sebenarnya merancang menganjurkannya pada 2020 tetapi ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19, jadi mula tahun ini dan sambutannya cukup mengalakkan,” katanya.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman merasmikan Kejohanan Piala Budak Kampung di Eco Ardence Football Arena, Setia Alam pada 27 Ogos 2022. Foto Ihsan Pejabat EXCO Sukan

Pengarang :