Ketua Pegawai Strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat menyerahkan sumbangan kepada wakil Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Puncak Alam pada 12 Ogos 2022. Foto Facebook PKNS
AGENSISELANGOR

PKNS sumbang RM300,000 bina bangunan baharu SAR Kafa Integrasi Puncak Alam

SHAH ALAM, 13 OGOS : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan sumbangan RM300,000 untuk pembinaan bangunan dan membaik pulih Sekolah Agama Rendah (SAR) Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Puncak Alam.

Serahan disempurnakan Ketua Pegawai Strategik PKNS Idris Ishak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS kepada wakil pengurusan sekolah dengan disaksikan beberapa tetamu yang hadir.

PKNS memaklumkan sejumlah RM200,000 diserahkan baru-baru ini manakala baki RM100,000 selesai diserahkan semalam kepada pihak pengurusan sekolah terbabit.

“Sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS dalam membantu dan menyokong institusi tahfiz serta pendidikan di Malaysia.

“Kita berharap dengan serahan ini dapat membantu meringankan beban sekali gus boleh menampung kos pembinaan bangunan dan membaik pulih tahfiz ini,” menurut agensi itu di Facebook.

Pegawai dan kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Puncak Alam bergambar di depan bangunan sekolah yang sedang dalam pembinaan pada 12 Ogos 2022. Foto ihsan PKNS

Pengarang :