Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mahmud Abbas (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Runcit Bank Islam, Mizan Masram (dua, kanan) menandatangani plat ketika majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor PKNS dan Bank Islam di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam pada 15 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKNS, Bank Islam tawar kemudahan pembiayaan hartanah di Selangor

SHAH ALAM, 15 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menawarkan kemudahan pembiayaan perumahan-i kepada pelanggan.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, pinjaman berkonsepkan Tawarruq (patuh syariah) ditawar kepada individu berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) bagi perumahan untuk diduduki atau hartanah pelaburan.

Dato’ Mahmud Abbas berkata pelbagai pakej pembiayaan menarik disediakan untuk hartanah kediaman yang dalam peringkat pembinaan dan siap dibangunkan seluruh Selangor.

Katanya, projek hartanah itu antaranya Puteri Soraya dan Puteri Aira, Kota Puteri; Azhara, Lavender dan Cassia di Antara Gapi; Rafflesia, Bernam Jaya serta Anggun Kirana dan Hijauan Enklaf, Alam Nusantara.

“PKNS cakna kebimbangan masyarakat membeli kediaman ketika ini di sebalik ketidaktentuan ekonomi semasa. Kita juga sedar kesulitan dihadapi mereka mendapat pembiayaan perumahan.

“Oleh itu, kita ambil inisiatif ini memudahkan proses pembiayaan selain menawarkan pakej berbaloi bagi merealisasikan impian pelanggan memiliki kediaman,” katanya pada sidang media di Restoran SACC Kelana Seafood di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pihak PKNS manakala Bank Islam diwakili Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Runcit Mizan Masram.

Sementara itu, Mizan berkata sebagai institusi perbankan, pihaknya menyediakan kemudahan pembiayaan dengan tempoh sehingga 35 tahun atau usia pemohon mencecah 70 tahun.

Beliau menjelaskan margin pembiayaan pula sehingga 100 peratus merangkumi perlindungan takaful gadai janji atau pelan takaful berkadar rata tempoh gadai janji termasuk pelan takaful empunya rumah dan isi rumah.

Katanya, ia turut meliputi yuran guaman selain pengecualian duti setem dan yuran pemprosesan mengikut terma serta syarat.

“Pelanggan tidak perlu gusar caj-caj lain dalam pembelian hartanah tersebut memandangkan segalanya terkandung dalam pakej yang disediakan.

“Kami juga menyediakan khidmat nasihat kewangan bagi membolehkan pelanggan menguruskan kewangan dengan baik termasuk menyertai beberapa siri jelajah jualan anjuran PKNS,” katanya.


Pengarang :