Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (dua, kiri) Pengerusi Pernama Network Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Zainal (dua, kanan) selepas menandatangani Memorandum Persefahaman di antara PKPS dan Pernama Network sambil disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim (tengah, belakang) di Wisma PKPS, Shah Alam pada 25 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS, Pernama jalin kerjasama rancakkan pertanian negeri

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjalin kerjasama dengan Pernama Network (Pernama) dan Taqa Resources Sdn Bhd dalam merancakkan lagi pembangunan pertanian negeri.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini bagi mengenal pasti potensi projek pertanian yang memberi keuntungan kepada semua pihak.

Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata ia juga satu penghormatan tertinggi kepada Selangor berikutan kedua-dua organisasi terbabit memiliki kelebihan tersendiri khususnya dalam pemasaran produk agro-makanan.

“Pernama sebagai contoh, adalah badan korporat yang kukuh dengan rangkaian kedai, lot perniagaan serta perusahaan yang mampan dan mempunyai pasaran tetap dalam kalangan anggota pertahanan negara.

“Justeru, apabila diberi peluang untuk memasarkan produk Ehsan di outlet Pernama, sudah pasti PKPS tidak akan melepaskan peluang keemasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU dengan Pernama dan Taqa Resources di Wisma PKPS. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim, Pengerusi Pernama Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Pengerusi Taqa Resources Tan Sri Musa Hassan.

Tambah Mohamad Khairil, Taqa Resources berpengalaman dalam mengendalikan sektor import dan eksport hasil pertanian khususnya bekalan barang makanan seperti bawang, kentang dan rempah ratus dari negara luar.

Menurutnya, PKPS berharap usahasama ini dapat dimanfaatkan dalam perancangan strategik terutamanya bagi memperluaskan pembangunan perniagaan ketiga-tiga organisasi.

“Susulan daripada dokumen MoU hari ini, saya pasti akan ada lagi perbincangan susulan agar persefahaman yang lebih terperinci dapat dijalankan pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :