Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika sidang media mengenai serbuan dan tangkapan pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 4 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis Sepang lupus barang kes bernilai RM1.1 juta

SEPANG, 22 OGOS: Polis melupuskan barang kes bagi tujuh kes antara 2018 dan 2021 yang telah selesai pendakwaan bernilai RM1.1 juta, kata Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Dalam sidang media selepas lawatan kerja Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Baharudin Mat Taib dan majlis pelupusan barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini, beliau berkata antara barangan dilupuskan ialah mesin bitcoin, minuman keras dan rokok.

Wan Kamarul Azran berkata kes-kes berkenaan melibatkan tangkapan di kawasan Bandar Baru Salak Tinggi, Sungai Pelek, Sepang, Dengkil dan Putra Perdana, membabitkan tangkapan seramai 11 suspek yang terdiri daripada tujuh warga tempatan dan empat warga asing.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan, katanya.

Wan Kamarul Azran berkata arahan pelupusan telah diperoleh daripada Majistret Mahkamah Sepang Ayuni Izzati Sulaiman mengikut prosedur di bawah Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.

“Barang-barang kes seperti mesin bitcoin dilupus dengan cara menghancurkan atau meleraikan secara manual, minuman keras akan diasingkan menggunakan bahan kimia dan dilupuskan secara pemeruapan manakala rokok pula dibakar di dalam kebuk pembakaran,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :