Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur pada 5 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan 209 individu terbabit kes dadah dalam operasi khas

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Seramai 209 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di sekitar ibu negara, minggu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kesemua individu berusia 19 hingga 68 tahun itu ditahan di sekitar kawasan perumahan awam, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sekatan jalan raya dalam operasi pada 27 hingga 29 Julai.

“Daripada jumlah tersebut, 12 individu telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah, 24 individu atas kesalahan mengambil dadah berulang dan lapan lagi adalah orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, sebanyak 1.5 liter cecair dan 1.6 kilogram dipercayai pelbagai jenis dadah bernilai RM370,000 dirampas manakala wang tunai berjumlah RM340 serta sebuah kereta jenis Honda Accord turut disita.

Beliau berkata Rabu lepas, seorang kontraktor elektrik dipercayai tukang memproses dadah jenis ketamin turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mastiara, Jalan Ipoh, di sini.

Katanya lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira 2.45 pagi susulan maklumat diterima berhubung kegiatan di rumah berkenaan yang dijadikan makmal memproses dadah.

Menurutnya lelaki itu menyewa rumah tersebut sejak dua bulan lepas bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

“Semakan awal mendapati lelaki itu telah dibebaskan dari penjara pada 2019 atas kesalahan berkaitan dadah dan ketika diperiksa, dia juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Azmi berkata lelaki berkenaan direman hingga 2 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :