AGENDANASIONAL

Polis tahan lelaki rosakkan Jalur Gemilang di ibu negara

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Polis menahan seorang lelaki semalam kerana merosakkan Jalur Gemilang yang digantung di Jalan Tun Sambanthan di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata dalam insiden pada 3 petang itu, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengatakan terdapat seorang lelaki merosakkan Jalur Gemilang.

Beliau berkata apabila tiba di lokasi kejadian, anggota polis mendapati dua pegawai DBKL berada bersama dengan seorang lelaki tempatan yang dipercayai kurang siuman.

“Lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Brickfields bagi tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan kesihatan dan dirujuk ke wad Psikiatri,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan seorang lelaki bertindak merosakkan Jalur Gemilang yang digantung di jejantas di Jalan Syed Putra.

Ini merupakan insiden kedua Jalur Gemilang yang digantung di kawasan awam dirosakkan kerana pada Khamis, seorang lelaki ditahan selepas dirakam menggunting Jalur Gemilang yang diletakkan di Jalan Ampang. – BERNAMA


Pengarang :