Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 25 Ogos 2022. Foto Facebook Polis Bentong
AGENDAJENAYAH

Polis tahan tiga warga emas, rampas dadah bernilai lebih RM30 juta

BENTONG, 25 OGOS: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan pengedaran tempatan dengan penahanan tiga lelaki warga emas di Bukit Tinggi dekat sini dan rampasan 841.06 kilogram syabu dianggar bernilai RM30.8 juta di sebuah rumah di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata hasil penahanan terhadap mereka, polis menyerbu rumah tersebut dan menemukan dadah terbabit yang dijual di pasaran pada harga anggaran RM36,000 sekilogram serta boleh digunakan kira-kira 4.2 juta penagih.

Suspek yang berusia 61 dan 63 tahun merupakan pekebun durian manakala suspek berusia 62 tahun adalah penganggur serta mereka disyaki terlibat dengan sindiket tersebut sejak awal tahun ini.

“Sindiket tersebut dipercayai menggunakan khidmat kurier dan laluan laut untuk menyeludup dadah ke pasaran antarabangsa… yang kita syaki ke negara serantau serta mereka turut disyaki terlibat mengedar dadah untuk pasaran tempatan.

“Polis masih mengesan ahli sindiket lain kerana mereka ini bukan dalang namun hanya sebahagian daripada anggota sindiket tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Azmi Awang Lah.

Ramli berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock, selaras senjata api tiruan, kelopak peluru, peluru hidup, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dan wang tunai RM1,564.

Menurutnya kesemua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif terhadap dadah.

Mereka direman hingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Dalam kes lain, Ramli berkata polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai terlibat mengedar dadah dalam operasi pada 10 hingga 11 malam semalam di Kampung Pengsenam, dekat Temerloh.

Beliau berkata siasatan menemukan 10 peket plastik lut sinar disyaki berisi syabu dianggar seberat 507.27 gram bernilai RM18,000 daripada lelaki itu dan dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan Felda.

Katanya suspek yang tidak memiliki rekod jenayah dipercayai memperoleh dadah itu dari Lembah Klang dan dia kini direman hingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

– BERNAMA


Pengarang :