Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam ketika tinjauan pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Prasekolah khas negeri, 14 anak istimewa mula pembelajaran 1 September

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 14 daripada 100 kanak-kanak berkeperluan khas melepasi saringan awal kemasukan Prasekolah Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) yang diadakan pada 6 Ogos lalu.

Ketua Jabatan AnIS Daniel Al Rashid Haron berkata kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun itu memulakan sesi pembelajaran di pusat sokongan yang terletak di Seksyen 7, di sini pada 1 September ini.

“Kanak-kanak terbabit terpilih memasuki prasekolah selepas melepasi kriteria ditetapkan antaranya menguasai kemahiran mengenal dan menulis abjad serta angka.

“Mereka akan mengikuti kelas intervensi setiap Isnin hingga Khamis dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, manakala laporan perkembangan dan prestasi diperoleh pada pertengahan dan penghujung sesi persekolahan,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan melakukan penilaian terhadap baki kanak-kanak yang gagal dalam saringan awal tersebut supaya kuota 80 orang dipenuhi.

“Kita tidak tolak mereka begitu sahaja sebaliknya dinilai secara berperingkat. Seramai 20 kanak-kanak akan dilatih setiap minggu oleh pakar terapi dan kita mahu percepatkan proses kemasukan mereka.

“Dalam hal ini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan latih anak masing-masing kerana kita kasihan sekiranya tahap perkembangan anak mereka tidak seperti kanak-kanak sebaya lain,” katanya.

Sebelum ini, EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata sekolah tersebut dibangunkan bagi menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk murid yang berdepan masalah pembelajaran.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, inisiatif itu khusus untuk kanak-kanak autisme, sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan kanak-kanak lewat perkembangan (GDD).


Pengarang :