Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cenderahati ketika melawat gerai Carsome selepas merasmikan program Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program pemula niaga bantu syarikat kecil maju, mahu capai status unicorn

GOMBAK, 2 OGOS: Program Pemecut Selangor (SAP) membantu sebuah syarikat pembekal e-dagang berkembang sehingga mencapai status soonicorn iaitu terma syarikat bernilai AS$100 juta.

Pengarah urusan Dropee berkata bimbingan, kursus dan latihan ketika menyertai SAP pada 2018 membolehkan beliau mengembangkan syarikat dan berharap mencapai status unicorn (AS$1 bilion) pada masa depan.

Pengarah Urusan Dropee Aizat Rahim

Aizat Rahim, 32, berkata beliau juga turut menerima bantuan dana selain sokongan dari pelbagai agensi.

“Ketika sertai SAP, saya hanya ada 10 kakitangan namun sekarang meningkat kepada 200 orang.

“Kerajaan Selangor menerusi Sidec (Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor), MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) malah EXCO pelaburan banyak beri galakan,” katanya kepada SelangorKini.

Ahad lalu, sempena Jelajah Selangor Penyayang di Gombak, Aizat menerima anugerah penghargaan dari Sidec yang disampaikan Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyerahkan penghargaan sama kepada pengasas syarikat unicorn pertama negara Carsome, Teoh Jiun Ee.

Sementara itu Jiun Ee berkata pengiktaraf dari Kerajaan Negeri bakal menjadi pembakar semangat untuk syarikatnya terus menyediakan perkhidmatan yang dipercayai dan telus.

“Warga Carsome akan terus menggiatkan usaha dalam menginovasikan ekosistem kereta terpakai di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Carsome yang bertapak di Selangor dan memulakan operasi pada 2015 diiktiraf syarikat unicorn pertama negara pada tahun lalu.


Pengarang :