Kakitangan awam mengangkat ikrar ketika perhimpunan bulanan Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor di Bangunan Annex Shah Alam pada 9 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PTGS: Kutipan cukai tanah dan petak meningkat, lebih 80 peratus sasaran dicapai

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kutipan cukai tanah dan petak selepas pascapandemik Covid-19 meningkat dengan perolehan sebanyak RM580 juta setakat Julai, kata pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS).

Yusri Zakariah berkata jumlah itu membabitkan lebih 80 peratus daripada nilai sasaran tahun ini berjumlah RM620 juta.

“Kutipan tahun ini memberangsangkan berbanding 2020 dan 2021 ketika kita berdepan dengan situasi penularan wabak Covid-19.

Pengarah Tanah dan Galian Selangor Yusri Zakariah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita harap momentum pembayaran di seluruh Selangor berterusan sehingga hujung tahun. Jumlah cukai tetap sama sampai tamat tempoh pada 2026,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan PTGS hari ini.

Ketika berucap, Yusri turut mengingatkan kakitangan jabatan supaya memberi perhatian dan mengutama sebarang cadangan atau aduan dikemukakan rakyat.

“Terus berinteraksi lebih pantas menggunakan platform media sosial seperti e-mel, telefon, WhatsApp dan Telegram.

“Langkah penyelesaian yang dibuat cepat menjadi kayu ukur prestasi kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada orang awam,” katanya.


Pengarang :