Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang dijadualkan di Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pusat khidmat permudah urusan rakyat mohon bantuan keperluan asas

SHAH ALAM, 14 OGOS: Golongan yang masih kurang jelas berhubung Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) boleh mendapatkan maklumat lanjut di pusat khidmat masyarakat (PKM) di kawasan masing-masing.

Wakil rakyat Hulu Kelang Saari Sungib berkata penduduk yang masih keliru dengan program bantuan keperluan asas itu boleh berbuat demikian bagi mendapatkan penjelasan dan mereka yang layak boleh membuat permohonan menerusi saluran berkaitan.

“Semua permohonan boleh dibuat secara dalam talian tetapi penduduk boleh hadir atau hubungi PKM DUN berhampiran untuk maklumat lanjut termasuk menyemak kelayakan.

“Alhamdulillah, permohonan Bingkas di DUN Hulu Kelang mendapat sambutan dan setakat ini lebih 600 individu memohon manakala 500 sudah diluluskan,” katanya ketika dihubungi.

Manakala, Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin turut menyifatkan permohonan di luar jangka dan pihaknya kini dalam proses semakan untuk kelulusan.

“Kita memohon orang ramai bersabar kerana dokumen semua sedang diteliti. Insya-Allah kita akan pastikan mereka yang benar-benar layak pasti dapat bantuan keperluan asas ini,” katanya.

Bingkas antara inisiatif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang bagi menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat selain membantu kebajikan lebih ramai rakyat negeri ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan hampir 30,000 keluarga di Selangor bakal menerima bantuan sebanyak RM3,600 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bagi membeli keperluan asas membabitkan peruntukan RM6.3 juta yang diagih menerusi e-dompet Wavpay sebanyak RM300 sebulan.


Pengarang :