Timbalan Presiden Parti KEADILAN Rakyat, Rafizi Ramli berucap ketika majlis pelancaran trak Ayuh Malaysia di hadapan restoran Red Chairs Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rafizi dedah nama ahli politik seleweng dana LCS esok

SHAH ALAM, 21 OGOS: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mendedahkan nama ahli politik yang didakwa terlibat skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) esok.

Rafizi Ramli menerusi Facebook berkata ahli politik berkenaan boleh dinamakan kerana pihaknya mempunyai bukti.

“Saya membuat keputusan untuk menamakan ahli politik tersebut untuk mengelakkan beberapa bilis sahaja dikambing hitamkan sedangkan jerung-jerung terlepas.

Hebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia. #AyuhMalaysia kita perangi mat-mat sakau yang merompak duit rakyat,” katanya.

Semalam, Rafizi menyifatkan skandal berkenaan sebagai jenayah yang dirancang sejak awal demi kepentingan sendiri dan amat mustahil jika individu terlibat tidak mengetahui langsung perkara itu.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada LCS disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal perlu diserahkan setakat Ogos 2022.

Susulan itu, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang juga bekas panglima tentera laut dihadapkan ke mahkamah pada 16 Ogos lalu atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat berjumlah RM21.08 juta.


Pengarang :