Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli berucap ketika Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 27 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rafizi: Lebih banyak salah laku isu LCS akan dibongkar

SHAH ALAM, 27 OGOS: Masih terdapat banyak perkara akan didedahkan berkaitan isu projek kapal tempur pesisir (LCS), kata timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Rafizi Ramli berkata pembongkaran tersebut dijangka mangambil masa yang agak lama dan berpanjangan.

“Isu LCS ini masih banyak ‘sampah’ belum dikeluarkan dan saya rasa jika Pilihan Raya Umum (PRU) beberapa bulan lagi yang itu (LCS) pun tak habis-habis lagi.

“Saya bukan pilih isu semata-semata politik, ia adalah hobi saya seperti menjadi Detektif Conan yang suka menyiasat. LCS ini akan terus jadi isu besar hingga hari mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada LCS disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion memperuntuk dengan lima daripada enam kapal perlu diserahkan setakat Ogos ini.

Susulan itu, mantan Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang juga bekas panglima tentera laut dihadapkan ke mahkamah pada 16 Ogos lalu atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat berjumlah RM21.08 juta.


Pengarang :