Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli menyampaikan ucapan pengulunggan sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rafizi seru rakyat desak buru dalang pencuri dana LCS

SHAH ALAM, 18 OGOS: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli percaya perbuatan mencuri dana rakyat secara terancang tidak mudah berlaku tanpa dilindungi orang atasan.

Merujuk isu kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, beliau menegaskan rakyat harus menuntut siasatan untuk mengetahui dalang sebenar kes berkenaan.

“Saya bertegas bahawa skim mencuri dana rakyat yang sebegini rumit tidak boleh berlaku tanpa dilindungi oleh orang-orang atasan yang lebih berkuasa dari seorang pesara panglima tentera laut yang didakwa baru-baru ini,” katanya.

Bekas ahli parlimen Pandan itu dalam kenyataan media hari ini juga mempersoal individu yang mempunyai kuasa melindungi DCNS, kontraktor yang menyediakan reka bentuk kapal LCS.

“Hanya Najib Razak, Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussin yang boleh menjawab soalan ini,” kata beliau lagi.

Rafizi turut menamakan sebuah syarikat pesisir luar yang ditubuhkan untuk memindahkan wang dari projek LCS ke akaun luar negara.

Beliau mendakwa modus operandi itu mirip kaedah mencuri wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menubuhkan syarikat-syarikat palsu yang menyerupai nama organisasi sah.

Selangorkini sedang mendapatkan reaksi tiga syarikat utama yang terlibat dalam projek itu.


Pengarang :