Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli berucap ketika majlis pelancaran trak Ayuh Malaysia di hadapan restoran Red Chairs Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rafizi: Skandal LCS jenayah terancang

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) merupakan jenayah yang dirancang sejak awal demi kepentingan sendiri, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata amat mustahil jika individu yang terlibat dalam penyelewangan tersebut tidak mengetahui langsung perkara itu.

“Perkara ini tidak boleh berlaku tanpa perancangan. Ini bukan curi ayam kerana ia dirancang, tengok sahaja lapisan demi lapisan lantikan syarikat subkontraktor.

“Ini dilakukan ‘jerung’ kerana hanya mereka yang boleh tetapkan kontrak apa nak buat, spesifikasinya, beri bayaran walaupun kerja tidak buat dan membawa keluar wang,” katanya.

Beliau berucap ketika Majlis Pelancaran Trak Jelajah ‘Ayuh Malaysia’ di depan Kedai Red Chairs, Jalan Wangsa Delima 6 malam tadi.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada LCS disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal perlu diserahkan setakat Ogos 2022.

Susulan itu, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang juga bekas panglima tentera laut dihadapkan ke mahkamah pada 16 Ogos lalu atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat berjumlah RM21.08 juta.


Pengarang :