ADN Sentosa Dr G Gunarajah menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pemain badminton M Thinaah yang memenangi pingat emas acara beregu wanita Sukan Komanwel di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 11 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Rai emas Sukan Komanwel, Thinaah terima sumbangan pusat khidmat DUN Sentosa

KLANG, 11 OGOS:  Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 M Thinaah menerima sumbangan khas dari Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa.

Insentif wang tunai disampaikan wakil rakyat Dr G Gunarajah di kediaman pemain badminton beregu wanita itu di Bandar Bukit Tinggi di sini, petang tadi.

Gunarajah berkata sumbangan itu bagi menghargai serta meraikan kejayaan anak di Sentosa yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Kita bangga rakyat Selangor yang juga anak Sentosa berjaya rangkul emas di Komanwel. Ini adalah satu contoh kepada anak muda lain untuk menaikan nama negara.

“Kita di peringkat Dun amat menggalakan anak muda di sekolah untuk aktif bersukan dan sokongan ibu bapa juga penting bagi melahirkan atlet berbakat pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu ditanya sama ada Kerajaan Negeri turut memberi insentif kepada Thinaah, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya pasti Kerajaan Negeri mesti ada berita gembira yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar atau menerusi EXCO sukan (Mohd Khairuddin Othman) nanti,” katanya.

Thinaah dan rakan regunya, Pearly Tan menyumbang pingat emas selepas menewaskan pasukan tuan rumah dalam pusingan akhir acara badminton beregu wanita.

Beregu nombor 11 dunia itu menewaskan Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 dalam tempoh tidak sampai 30 minit.


Pengarang :