Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda Selangor berangkat ke majlis doa selamat sempena Hari Kebangsaan

SHAH ALAM, 26 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 peringkat negeri.

Keberangkatan Tengku Amir Shah ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, bacaan yasin dipimpin Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir manakala khutbah Jumaat dibaca Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya dan solat Jumaat pula diimamkan Imam Sheikh Abdul Karim Omar.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 8 malam, 30 Ogos.

Sambutan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan artis terkenal Erni Zakri dan Black Hanifah, perarakan dan perbarisan, tarian pelbagai bangsa, koir, kawad senyap, tempur tanpa senjata serta pertunjukan bunga api.

Selain itu, program selawat dan munajat yang dipimpin Habib Ali Zaenal Abidin turut diadakan pada jam 4.45 petang.

Kempen sambutan kemerdekaan ke-65 peringkat negeri dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 31 Julai.

Tahun ini, Selangor memilih tema #KitaSelangorTeguh Bersama yang membawa maksud kebersamaan dan keberanian rakyat di pelbagai peringkat dalam menghadapi cabaran melanda.

Tema sempena sambutan kemerdekaan peringkat negeri merupakan refleksi rakyat yang sentiasa membangunkan antara satu sama lain.

 


Pengarang :