Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bersama ketua jabatan dan warga kerja Mais dalam majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang di Shah Alam pada 23 Ogos 2022. Foto MAIS
AGENSISELANGOR

Rakyat digesa semarak semangat patriotik, hayati erti merdeka

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seluruh masyarakat disaran terus menyemarakkan semangat patriotik terutama dalam bulan kemerdekaan ini, kata pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata orang ramai perlu menghayati erti kemerdekaan sebaiknya dan menzahirkan rasa syukur menikmati kemakmuran negara dikecapi hari ini.

“Ia adalah satu kejayaan dicapai negara kita sepanjang 65 tahun. Kegemilangan hendaklah disemarakkan agar semangat cintakan negara dan mengingati kejayaan pejuang kemerdekaan. Semangat cintakan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa terpahat di dada kita.

“Hayati semangat kemerdekaan dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti dan bersama mengibarkan Jalur Gemilang. Pastikan ianya tidak luntur dan sentiasa digilap,” katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melekatkan bendera pada kenderaan dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada warga kerja Mais, jabatan dan agensinya di Shah Alam pada 23 Ogos 2022. Foto MAIS

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program edaran 3,012 bendera Jalur Gemilang dan pelekat kenderaan kepada warga kerja Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (Jheis), agensi dan anak syarikat Mais.

Program tahunan itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terutama warga kerja Mais, Jheis, agensi dan anak syarikatnya serta bersama meraikan Hari Kebangsaan dalam mengenang perjuangan pemimpin terdahulu sehingga mencapai kemerdekaan.


Pengarang :