Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Rayuan kes remaja bunuh pelajar tahfiz Keramat didengar Januari depan

PUTRAJAYA, 18 OGOS: Mahkamah Rayuan menetapkan 9 Jan 2023 untuk mendengar rayuan seorang remaja lelaki yang diperintahkan ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Peguam remaja itu Haijan Omar, ketika dihubungi Bernama, berkata pendengaran rayuan pada mulanya ditetapkan pada 11 Ogos lepas, namun ia ditangguhkan kerana rekod rayuan yang tidak lengkap.

Beliau berkata pada hari sama, pengurusan kes dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Tan Chai Wei yang menetapkan 9 Jan untuk pendengaran rayuan itu.

“Kami baru sahaja dibekalkan dengan rekod rayuan yang lengkap,” kata Haijan.

Remaja itu yang kini berusia 21 tahun, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.

Pada masa sama, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja terhadap tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah mendapati remaja itu, yang berusia 16 tahun ketika kejadian, telah dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicam, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seramai 71 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala enam saksi pembelaan termasuk remaja itu dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 30 Mei 2018. Remaja itu dalam pembelaannya menafikan dia berada di perkarangan tahfiz itu pada bila-bila masa semasa kejadian.

Dalam tragedi itu, 21 pelajar dan dua guru terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

-BERNAMA


Pengarang :