AGENDANASIONAL

Remaja perempuan 14 tahun culik bayi kerana terlalu comel

SHAH ALAM, 25 OGOS: Memberi alasan terlalu comel, seorang remaja perempuan tergamak menculik bayi sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang pada Selasa, suspek utama yang berumur 14 tahun nekad menculik bayi perempuan di rumah neneknya yang juga pengasuh kepada bayi berkenaan, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Tan Cheng San berkata ibu mangsa yang mahu mengambil bayinya dari rumah pengasuh terkejut apabila dimaklumkan bayi itu dilarikan cucu perempuannya ketika dia sedang solat.

“Ibu mangsa kemudiannya bertanya kepada pengawal keselamatan dan dimaklumkan suspek mendukung mangsa dengan berjalan kaki dan kemudian menunggang motosikal.

“Ibu mangsa cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya lalu dia membuat laporan polis,” katanya pada sidang media hari ini.

Cheng San berkata polis membuat tangkapan ke atas suspek utama dan teman lelakinya berusia 18 tahun, termasuk rakan kepada teman lelaki suspek yang juga 18 tahun di sebuah pondok di Machang Bubok pada jam 11.50 malam, hari sama.

Susulan itu, katanya polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kulim, lokasi bayi itu dijaga oleh ibu kepada teman lelaki suspek yang berusia 43 tahun.

“Siasatan mendapati suspek utama membawa bayi perempuan itu di pondok di Machang Bubok terlebih dahulu, sebelum bapa tiri kepada teman lelaki suspek berusia 30 tahun datang dengan memandu van kilang, kemudian mengambil mangsa (bayi perempuan) pergi ke sebuah rumah di Kulim,” katanya.

Kelima-lima suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Difahamkan, bayi itu yang juga anak tunggal dijaga oleh nenek suspek dengan bayaran RM500 sebulan.


Pengarang :