Petugas kesihatan melakukan pemeriksaan mata ke atas peserta program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Risau ada penyakit kronik, dorong peserta jalani pemeriksaan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 8 OGOS: Seorang peserta memanfaatkan program Selangor Saring anjuran Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti tahap kesihatan selepas kali terakhir berbuat demikian lima tahun lepas.

Pekerja kilang, Mohd Hairizam Abdul Halim, 45, bimbang sekiranya mempunyai penyakit tertentu yang tidak diketahui sepanjang tempoh berkenaan.

Bapa dua anak menjalani beberapa pemeriksaan secara percuma seperti fizikal, darah, air kencing dan mata selepas menerima notifikasi dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dua hari lepas.

“Memandangkan umur semakin meningkat, pemeriksaan kesihatan perlu dibuat supaya boleh tahu apa penyakit dihidapi dan jika ada saya boleh cegah lebih awal.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) dimaklumkan ada program pemeriksaan pemeriksaan. Inisiatif seperti ini bagus dan kalau boleh diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama di sini.

Beliau antara 1,000 peserta yang menjalani saringan kesihatan percuma di Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, semalam.

Bagi penghidap kencing manis, Dennis Lim, 49, program itu memberi peluang kepadanya memeriksa tahap gula dalam darah tanpa perlu membelanjakan ratusan ringgit untuk menjalani pemeriksaan sama di klinik swasta.

“Saya menghidap penyakit ini sejak lima tahun lepas dan jarang sekali buat pemeriksaan. Namun sepanjang tempoh itu saya cuba amalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan.

“Jadi saya hendak tahu setakat mana kandungan gula dalam darah memandangkan sudah mengambil langkah proaktif sebelum ini,” kata bapa dua anak yang menetap di Bandar Puteri Klang.

Sementara itu, usahawan dalam talian Irma Avdaliya Fitri, 47, berkata masalah sakit tulang belakang (slipped disc) dialami sejak awal tahun ini mendorongnya untuk menjalani fisioterapi yang turut ditawarkan dalam program terbabit.

“Sepanjang tahun ini memang langsung tidak buat pemeriksaan sedangkan saya kerap sakit tulang belakang dan kebetulan dipanggil hari ini (semalam) walaupun mendaftar dalam SELangkah sejak Jun lagi.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan inisiatif ini dan meringankan beban rakyat kerana sekarang kos rawatan di klinik swasta agak mahal,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui http://selangorsaring.selangkah.my atau hubungi talian Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :