Pemilik premis pemborong makanan runcit, Lily Tan, 50, dibantu pekerjanya membersihkan kedainya pascabanjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM46.5 juta naik taraf ban, parit atasi bah Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak RM46.5 juta diperuntuk sebagai langkah segera mengatasi masalah banjir di Taman Sri Muda di sini, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim menjelaskan sejumlah RM11.5 juta digunakan untuk menaik taraf dan meninggikan ban bagi menghalang limpahan air, pembelian pam, genset dan siren.

Menurutnya, sebanyak RM15 juta diperuntuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor untuk membina kolam takungan manakala baki bagi menaik taraf parit dan pam.

“Kolam takungan beserta pam ini akan dibina berhampiran Lebuhraya Kemuning-Shah Alam dan kebenaran dari Lembaga Leburaya Malaysia juga telah diperoleh dengan kerja bermula tahun hadapan.

“Kita kena faham kerana terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan seperti isu tanah kerana ia mempunyai pemilik dan memerlukan kelulusan, kerja kejuruteraan juga mengambil masa,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media berhubung rancangan Kerajaan Negeri mengatasi masalah banjir di Taman Sri Muda di Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hujan lebat di beberapa tempat sekitar Shah Alam pada 20 Ogos lalu menyebabkan beberapa kawasan termasuk Taman Sri Muda dinaiki air hampir satu meter.

Bagaimanapun, air mulai surut beberapa jam selepas kejadian dengan pasukan penyelamat kekal berada di lokasi tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

 


Pengarang :