Pekerja kedai serbaneka Petronas Mesra menyusun roti Gardenia ketika tinjauan di ibu kota mengenai harga beberapa produk roti jenama itu yang akan dinaikkan pada 1 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Roti Gardenia naik harga lagi hingga 50 sen mulai 1 September

SHAH ALAM, 29 OGOS: Enam produk Gardenia akan dijual dengan harga baharu membabitkan kenaikan antara 10 hingga 50 sen mulai 1 September, kata pihak pengurusannya.

Perubahan harga meliputi Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3, Gardenia Wholemeal (RM3.60 kepada RM4) dan rangkaian Gardenia Toast’em (RM5 kepada RM5.50).

Turut dinaikkan harga ialah Gardenia Twiggies daripada RM1.80 kepada RM2, Gardenia Waffles (RM1.40 kepada RM1.50) dan roti krim Gardenia (RM1 kepada RM1.10), lapor Harian Metro.

“Pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic ialah sebanyak tujuh peratus atau 20 sen, berbanding kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.

“Bagaimanapun, roti Gardenia Bonanza Keluarga dikekalkan pada RM2.75 sebuku, harga mampu-milik untuk roti putih dengan berat 500 gram,” kata syarikat itu.

Gardenia KL menjelaskan kenaikan itu berikutan cabaran pascapandemik Covid-19, bah sekitar Shah Alam pada Disember tahun lalu serta krisis rantaian bekalan global.

“Hasil daripada semakan dan analisis terperinci serta mengambil kira beberapa pilihan yang ada, Gardenia KL menyemak semula harga runcit bagi produknya berkuat kuasa 1 September,” katanya.

Pada 1 Disember 2021, Gardenia telah menaikkan harga Original Classic 400g sebanyak 30 sen manakala Original Classic Jumbo 600g dinaikkan kepada 45 sen.


Pengarang :