Peserta membuat pendaftaran sebelum menjalani PCR HPV ketika program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Barah Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 jamin kesihatan penduduk pada masa depan, bantu kesan penyakit lebih awal

SHAH ALAM, 10 OGOS: Penekanan aspek kesihatan dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan langkah tepat bagi menjamin kesihatan masyarakat di tahap baik.

Pensyarah fakulti perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata ketika ini seluruh negara berdepan dengan pelbagai ancaman penyakit selain persekitaran tercemar yang berisiko menjejaskan kesihatan.

“Inisiatif kesihatan RS-1 merupakan bonus kepada rakyat Selangor untuk jamin kesihatan mereka. Sekarang banyak berlaku pencemaran udara, air yang boleh mengundang penyakit seperti denggi, chikungunya.

“Begitu juga dengan penyakit tak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, obesiti, mental yang kian meningkat. Jadi RS-1 membantu masyarakat membendung penyakit ini malah langkah awal mendapatkan rawatan,” kata Dato’ Dr Khalid Ibrahim ketika dihubungi.

Bekas pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor itu turut mencadangkan penubuhan jawatan kuasa di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) atau daerah supaya lebih ramai rakyat menerima manfaat program pembangunan terbabit.

“Ini membantu Kerajaan Selangor lebih fokus dengan agenda dirancang. Setiap kawasan perlu ada pegawai perubatan atau inspektor kesihatan yang memantu situasi semasa.

“Langkah ini sekali gus membantu Kementerian Kesihatan dan kerjasama dua pentadbiran akan menangani isu kesihatan awam. Selangor satu-satunya melaksanakan insentif ini dan wajar dijadikan contoh oleh negeri lain,” katanya.

Menerusi RS-1, lebih ramai penduduk bakal menerima skim Iltizam Selangor Sihat (ISS) yang membolehkan mereka mendapat bantuan rawatan asas sehingga RM500, perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000.

Selain rawatan dan perubatan, Kerajaan Negeri turut menawarkan vaksinasi bagi memastikan lebih ramai rakyat Selangor mendapat perlindungan sebaiknya.


Pengarang :