Pemandangan dari atas menunjukkan pembangunan pesat sekitar bandar raya Shah Alam. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 tumpu atasi jenayah alam sekitar, perubahan iklim

SHAH ALAM, 8 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan bulan lalu mengambil beberapa pendekatan strategik bagi memajukan kelestarian di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata strategik itu turut menumpukan isu alam sekitar, perubahan iklim dan kelemahan undang-undang serta penguatkuasaan terhadap penjenayah alam.

“Pendekatan ini memastikan keseimbangan bersama pembangunan negeri tercapai selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Strategik yang terkandung dalam teras tiga itu menekankan penambahbaikan ke atas program sedia ada dan inisiatif baharu dan Gerbang Maritim Selangor (SME).

Turut diberi tumpuan ialah pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau, sistem pengurusan sisa bersepadu selain meningkatkan kelestarian biodiversiti dan sumber asli.

Pada 2 Ogos lalu, sidang Dewan Negeri Selangor meluluskan usul RS-1 berjumlah RM212.44 bilion dengan sokongan sebulat suara oleh wakil rakyat.

Selain pembangunan lestari, pelan itu turut menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelaksanaan pelan lima tahun RMK-12.

Laporan rasmi dan dokumen lengkap RS-1 boleh didapati di amirudinshari.com/rs1.


Pengarang :