KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Lebih 100 gadis terlanjur mendapat bimbingan serta didikan di pusat perlindungan Rumah Puteri Arafiah (RPA), Shah Alam sejak ditubuhkan pada 2011.
Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata ketika ini pusat kendaliannya mengurus 34 anak gadis berusia 15 hingga 20 tahun dengan penekanan elemen pembangunan modal insan dan rohani.
“Mereka ini merupakan gadis yang terlibat dengan masalah sosial. Mereka diambil selepas terlanjur dan dijaga selama dua tahun.
“Sekiranya keluarga tdak mahu menjaga bayi dilahirkan, kita akan diserahkan kepada keluarga angkat mengikut proses ditetapkan,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-18 Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) semalam.
RPA adalah pusat penjagaan dan perlindungan remaja puteri bawah umur 21 tahun yang diurus Pekawanis sejak ditubuhkan pada Jun 2011.
Beberapa pihak menaja pusat berkenaan antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Majlis Agama Islam Selangor.