Bangunan Parlimen Malaysia kelihatan tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RUU cukai pelancongan antara empat dilulus Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Dewan Negara hari ini meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kastam, eksais, zon bebas dan cukai pelancongan.

RUU tersebut adalah RUU Kastam (Pindaan) 2022, RUU Eksais (Pindaan) 2022, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2022 dan RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa ketika menggulung usul perbahasan RUU Kastam (Pindaan) 2022 berkata pindaan tersebut bagi tujuan menambah baik perundangan percukaian negara, selari dengan perubahan semasa perniagaan.

“Semua perkara yang kita pinda ini, kita buat melalui pandangan dan maklum balas daripada pelanggan dan ia lebih kepada memudahkan pelanggan untuk memenuhi obligasi mereka sebagai pencukai tanpa diberi denda, kerana kalau akta lama, mereka didenda.

“Saya rasa lebih baik kita belajar daripada krisis Covid-19 ini di mana ada Perintah Kawalan Pergerakan, saya rasa tidak adil untuk mereka diberi denda dan kita perlu beri kuasa kepada menteri untuk pastikan mereka ini diberi sedikit kelonggaran supaya boleh membayar kerana mereka ini sebenarnya adalah pembayar cukai yang baik, bukan sengaja tidak dibayar,” katanya.

Yamani Hafez berkata RUU Eksais (Pindaan) 2022 dilaksanakan bagi memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika berlakunya kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

Selain itu, beliau berkata RUU Zon Bebas (Pindaan) 2022 dilakukan bagi memasukkan peruntukan baharu bagi kelonggaran pihak industri dan kerajaan untuk melaksanakan obligasi yang perlu disempurnakan dalam tempoh tertentu ketika kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022 pula dilakukan bagi memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

Sementara itu, sebelum sesi persidangan hari ini ditangguh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata cadangan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang terlebih dahulu pelantikan Ahli Dewan Negara tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara Komanwel yang mempunyai Perlembagaan seperti Malaysia.

Malah, katanya cadangan supaya fungsi jawatankuasa itu untuk menimbang pelantikan Ahli Dewan Negara adalah tidak selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan Ahli Dewan Negara dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah kuasa prerogatif untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya setuju pelantikan Ahli Dewan Negara perlu memberi nilai tambah kepada institusi Parlimen dengan mengambil kira kepakaran dan kelayakan individu dan saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) meneliti perkara ini serta kerajaan mengalu-alukan cadangan menambah baik kriteria Ahli Dewan Negara,” katanya.

Terdahulu, Senator Datuk A Kesavadas membawa usul mencadangkan pemilihan Ahli Dewan Negara dipertimbangkan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas dan separuh daripada pelantikan senator oleh Yang di-Pertuan Agong diagihkan kepada individu bukan bipartisan.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :