Pemilik Restoran Abam Satay Mohd Fazrin Izwan membakar sate yang ditempah oleh pelanggan di restorannya di Setia Alam, Shah Alam pada 17 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Sanggup tahan kereta, peniaga terdesak jual sate

Oleh NAZLI IBRAHIM
Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Langkah kanan Mohd Fazrin Izwan, 34, bermula dengan kereta yang dipinjam daripada abangnya untuk berulang-alik mengangkut barangan sate ke tempat berniaga setiap hari.

Kereta Proton Iswara lama milik saudara tuanya Mohd Fuzaimi Izwan, 37, penuh diisi khemah, arang, sate, periuk, dapur dan nasi himpit.

Cukup seksa mengangkut keperluan niaga hari-hari untuk menjaja di tepi jalan di Seksyen 7, Shah Alam. Kompaun pihak berkuasa tempatan menjadi perkara biasa. Khemah niaga hampir terbang dilanda ribut pun pernah.

Namun, cabaran anak keempat daripada lima beradik itu ialah memastikan sate dapat dijual. Hari pertama tidak sampai 150 cucuk sate terjual sedangkan beliau membeli 1,000 cucuk daripada pembekal.

Paling perit, ketika jerebu melanda negara pada 2019. Hanya antara 20 hingga 30 cucuk sahaja dijual sehari. Bagaimanapun, wabak Covid-19 mengubah segala-galanya.

Rezekinya mencurah-curah tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama. Jualan mencecah 4,000 cucuk sehari sebelum meningkat kepada 6,000 sehari pada bulan puasa. Menjelang hari raya, tempahan menjangkau 12,000 cucuk.

Selepas negara memasuki fasa peralihan endemik, Mohd Fazrin lega apabila jualan stabil dengan lebih 2,000 cucuk sehari.

Modal RM5,000

Anak pasangan pesara tentera dan guru ini memulakan perniagaan sate pada 2018 bermodal RM5,000 hasil simpanan gaji.

Pada awalnya, bapa seorang cahaya mata berniaga dengan membeli sate mentah daripada pembekal. Apabila jualannya meningkat selepas enam bulan berniaga, beliau cuba membuat sate sendiri.

“Dekat sebulan cuba buat sate dan kuah kacang sendiri. Akhirnya dapat buat sate yang kena dengan selera ayah. Saya cuma ambil bahagian batang pinang sahaja. Lemak semua buang.

“Bila sudah buat sate sendiri saya nampak keuntungan lebih banyak dan sudah boleh upah pekerja,” katanya ketika ditemu bual Selangorkini di Restoran Abam Satay di Setia Alam pada 17 Jun lalu.

Ketika itu, purata jualan mencecah 700 cucuk sehari mendorongnya mengupah pekerja bagi membuka empat cawangan gerai. Namun timbul pula masalah pekerja tidak amanah. Hampir setiap hari wang jualan kurang daripada jumlah sepatutnya.

“Walau jualan banyak tetapi setiap hari duit yang sepatutnya terima kurang kira-kira RM100 setiap gerai. Kalau lima gerai, rugi RM500 sehari. Lama-lama saya jual semua peralatan, tinggalkan sedikit untuk buka restoran sekarang ini,” katanya.

Pemilik Restoran Abam Satay Mohd Fazrin Izwan menunjukkan sate yang siap dibakar di restorannya di Setia Alam, Shah Alam pada 17 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bukan mudah ketika memulakan kedai makan di Setia Alam. Beliau bergelut mendapatkan pelanggan apatah lagi kawasan restoran itu masih lengang kerana baru dibuka selain banyak lot kedai kosong.

Kerana terdesak mahukan pelanggan, Mohd Fazrin pernah menahan kereta yang lalu lalang di depan restoran untuk mempromosikan satenya. Selepas beberapa bulan, kedainya mula didatangi penggemar sate tanpa lemak.

“Masa itu saya dapat jual kira-kira 600 ke 900 cucuk sehari. Duitnya lebih kurang RM700 ke RM1,000 sehari. Mula-mula pelanggan ramai orang Cina tetapi sekarang Melayu pun makin ramai,” katanya.

Hikmah PKP

Pada awal 2020, dunia dikejutkan dengan wabak Covid-19. Pada minggu pertama PKP, beliau menutup perniagaan. Namun bapanya menasihatkan supaya kembali berniaga minggu berikutnya dengan mengiklankan sate dalam Facebook.

“Tak sangka rezeki datang mencurah. Tempahan datang bukan kawasan dekat-dekat sahaja tetapi jauh-jauh, ada dari Shah Alam, Subang dan Sungai Buloh pun ada.

“Masa PKP pertama 4,000 cucuk sehari. Bakar dalam masa empat jam menggunakan dua dapur. PKP kedua kurang sikit 3,000 hingga 3,200 cucuk sehari,” katanya.

Perniagaannya bertambah lancar selepas mendapat geran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) bernilai RM5,000 tahun lalu. Malah kejayaannya sering diuar-uarkan badan berkenaan sebagai contoh buat peniaga lain.

Mohd Fazrin menyifatkan antara faktor pencapaiannya kerana mengikut pesan ayahnya.

Bercakap perancangan akan datang, beliau yang mampu menggajikan 13 pekerja mensasarkan membuka kilang pengeluar sate mentah berskala besar untuk pasaran ke seluruh Malaysia dan eksport.

“Saya sedang belajar untuk eksport ke Brunei, Singapura, Abu Dhabi dan China. Fokus mahu jadi pembekal sate mentah dan dapatkan sijil halal,” katanya.

Ketika ini Mohd Fazrin dalam proses berunding dengan pemilik lot kedai sebelah restorannya untuk disewa bagi dijadikan kilang pengeluaran sate mentah.

Pemilik Restoran Abam Satay Mohd Fazrin Izwan (kanan) dan pekerjanya memotong daging ayam untuk dijadikan sate di restorannya di Setia Alam, Shah Alam pada 17 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :