Mangsa banjir Nuarjan Sulaiman melihat kenderaannya yang dihanyutkan arus bah ketika tinjauan Media Selangor di Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor bakal bangunkan aplikasi khas bantuan banjir – Loy Sian

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Selangor bakal membangunkan aplikasi khas menghadapi banjir bagi memudahkan penduduk negeri ini mendapat bantuan, kata EXCO perubahan iklim.

Hee Loy Sian berkata aplikasi itu dapat menghubungkan mereka dengan semua agensi dan sukarelawan berkaitan sekiranya berlaku bencana tersebut.

“Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu aplikasi khas yang boleh digunakan rakyat sekiranya berlaku insiden banjir lagi.

“Aplikasi ini bertindak memudahkan rakyat mendapatkan bantuan dalam masa singkat daripada semua agensi dan sukarelawan terlibat,”katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung perancangan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat menghadapi banjir.

Pada 18 Mei lalu, Kerajaan Negeri meluluskan penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor atau IklimSelangor.

IklimSelangor berperanan sebagai badan penasihat bagi membantu Kerajaan Negeri dalam merancang, melaksana dan memantau projek, selain cadangan penyelesaian isu yang timbul berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar.


Pengarang :