Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor Saring dapat sambutan, penduduk minta inisiatif kerap dilaksana

SHAH ALAM, 15 OGOS: Program pemeriksaan percuma Selangor Saring bagi mengetahui tahap kesihatan penduduk negeri ini mendapat sambutan menggalakkan.

Menerusi tinjauan SelangorTV, rata-rata penduduk yang menyertainya meminta Kerajaan Negeri kerap melaksanakan inisiatif itu berikutan manfaatnya yang besar.

Aiton Mohd Riffin berkata program berkenaan membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal sekali gus membolehkan rawatan susulan diambil.

“Program ini elok dibuat selalu. Pemeriksaan tahap kesihatan penting supaya kita dapat tahu keadaan diri dan penyakit dialami,” katanya.

Aina Izzati Rasimin berkata usaha Kerajaan Negeri memberi perkhidmatan percuma itu dapat meringankan beban belanja memandangkan kos sekitar RM100 diperlukan sekiranya melakukan sendiri.

“Kalau buat sendiri kena keluarkan kos lebih RM100 tapi program ini percuma. Kita boleh buat pemeriksaan badan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook berkata pihaknya menerima banyak maklum balas positif berkenaan pelaksaan program Selangor Saring.

“Hasil tinjauan mendapati saringan percuma yang diberi kepada rakyat sangat dihargai dan dimanfaatkan. Perkembangan ini menunjukkan rakyat peka kehidupan sihat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program itu yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

 


Pengarang :