Ahli Dewan Negeri batu Tiga Rodziah Ismail ditemani Ahli Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan Rusli meninjau program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan kesihatan percuma dilaksana lebih sistematik, jadi kempen kesedaran

SHAH ALAM, 21 OGOS: Program kesihatan Selangor Saring diteruskan pada masa hadapan dengan pelaksanaan yang lebih sistematik, kata ahli penasihat kesihatan awam negeri.

Dr Mohammad Farhan Rusli berkata inisiatif diperkenalkan tahun ini menjadi asas untuk mengajak masyarakat supaya prihatin terhadap kesihatan diri sekali gus mencegah penyakit lebih awal.

“Tahun ini kita jadikan tempoh masa untuk promosikan program. Kita nak masyarakat mengambil peduli tahap kesihatan mereka.

“Tahun hadapan kita jadikan program sebagai kempen kesedaran. Kita mahu mereka jadikan pemeriksaan diri sebagai rutin tahunan.

“Pada tahun seterusnya dan langkah jangka panjang, kita akan sediakan klinik panel untuk mudahkan pemeriksaan. Dalam masa sama kita turut menghantar peringatan supaya mereka peka untuk periksa kesihatan,” katanya.

Peserta membuat pemeriksaan kesihatan ketika program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pada program Selangor Saring di Seksyen 24 di sini hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail meninjau proses saringan serta beramah mesra dengan peserta.

Mengulas mengenai program berkenaan, Dr Mohammad Farhan berkata sambutan semakin memberangsangkan terutamanya di kawasan bandar dengan penyertaan golongan muda semakin tinggi berbanding ketika awal penganjuran yang lebih ramai disertai warga emas.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

 


Pengarang :