Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan pembukaan syarikat e-dagang automotif Carsome PJ Automall di Petaling Jaya pada 7 Jun 2022. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sedia ekosistem terbaik, pastikan usahawan berkembang maju

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Selangor sentiasa menyediakan ekosistem perniagaan terbaik bagi memastikan usahawan yang bertapak di negeri ini berkembang maju.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar membantu peniaga sebaliknya turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

“Kerajaan Selangor sangat bangga dengan pencapaian semua syarikat yang bertapak dan berjaya di negeri ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Beliau turut memuji pencapaian dua syarikat yang menerima pengiktirafan khas daripada Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) ketika Jelajah Selangor Penyayang di Batu Caves baru-baru ini.

Syarikat tersebut adalah platform e-dagang kereta Carsome yang diiktiraf sebagai Syarikat Pemula Teknologi unicorn hasil penilaian keseluruhan melebihi USD1 bilion.

Carsome yang bertapak di Selangor dan memulakan operasi pada 2015 diiktiraf syarikat unicorn pertama negara pada tahun lalu.

Turut menerima anugerah sama, platform borong perniagaan ke perniagaan Dropee yang juga Alumni Program Pemecut Selangor (SAP) mencapai status soonicorn iaitu terma syarikat bernilai AS$100 juta.

Sebelum ini, SAP kendalian Sidec berjaya menarik 225 permohonan syarikat pemula setakat Jun iaitu 36.4 peratus meningkat berbanding hanya 165 permohonan tahun lalu.

Peningkatan berkenaan membuktikan semakin banyak syarikat pemula bersemangat mahu mengembangkan perniagaan dengan bantuan dan bimbingan Sidec.

Sejak dilancar pada 2018, SAP yang menumpukan lima bidang utama meliputi teknologi kesihatan, teknologi kewangan, bandar pintar, teknologi hijau dan teknologi pertanian berjaya melahirkan seramai 120 usahawan e-dagang setakat Jun lalu.


Pengarang :