Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tekad selesai masalah diwarisi dari kerajaan lama

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak 2008 tekad menyelesaikan segala masalah ditinggalkan Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu yang timbul ketika ini banyak diwarisi legasi terdahulu bahkan ada yang terpaksa diuruskan semula.

Mengambil contoh Akademi Bola Sepak Merah Kuning, katanya, hak membangun tanah padang latihan di Kelana Jaya diberikan kepada kroni Umno namun pembangunannya tidak lengkap.

“Mereka anggar belasan juta, nilaian Jabatan Kerja Raya RM6 juta. Nilainya tidak sepadan dengan ganti rugi sepatutnya,” katanya ketika menggulungkan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kelmarin.

Mengulas isu Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini yang terbengkalai, Amirudin berkata bangunan itu sebahagiannya dipegang syarikat kontraktor lantikan kerajaan terdahulu.

“Ia bangunan tidak siap lantikan kontraktor zaman dulu. Kononnya ada kontraktor penyelamat tetapi ada ikatan dengan syarikat yang memegangnya (Hotel Carlton) sampai 2026, pegangan 25 peratus.

“Semua ini perlu diuruskan dengan legasi lama. Bukan semua perkara boleh dilaksana dengan terus sampai habis, kalau diuruskan ada masalah dan rintangan-rintangan tertentu,” katanya lagi.

RS-1 meliputi pelan ekonomi negeri dalam tempoh lima tahun yang dibentang pada 27 Julai lalu disokong sebulat suara oleh wakil rakyat dan diluluskan Speaker DNS Ng Suee Lim.


Pengarang :