Orang ramai bersama keluarga melakukan aktiviti riadah di Bukit Jugra, Kuala Langat pada 11 September 2021 selepas Kerajaan mengumumkan kelonggaran dan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selangor teliti insentif pelaburan bangunkan Sepang, Kuala Langat 

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Negeri sedang menyemak empat cadangan insentif pelaburan bagi projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang dianggarkan bernilai RM1 trilion.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata ia membabitkan skim premium khas, pengecualian cukai taksiran untuk tanah kosong, diskaun 50 peratus cukai selepas pengesahan sijil serta pengecualian bayaran lesen bagi tempoh lima tahun.

“Insentif ini masih dalam peringkat penelitian lanjut dan akan diumumkan setelah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya ketika sesi perbahasan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) semalam.

Beliau berkata setakat ini 10 projek sudah dikenal pasti dengan dua daripadanya iaitu NCT Smart Industrial Park dan Sepang Gold Coast Global Village akan dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan merancang.

“Namun begitu, kita tidak hadkan kepada 10 projek ini sahaja. Kita ada menerima cadangan dari pemaju yang berpotensi di Sepang dan Kuala Langat untuk turut serta dalam program ini.

“Sekiranya permohonan dan cadangan memenuhi kriteria, kita mengalu-alukannya. Kita harap dengan adanya penyelarasan dan pemantauan di peringkat negeri, pembangunan kawasan ini dapat dipacu lebih pantas,” katanya.

IDRISS yang terkandung dalam kerangka pembangunan negeri RS-1 bakal memberi tempias ekonomi kepada Sepang dan Kuala Langat sekali gus memastikan pengagihan saksama bagi aktiviti ekonomi di negeri ini.


Pengarang :