Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang Jalur Gemilang sekitar Dataran Shah Alam sempena sambuntan Hari Kebangsaan pada 19 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selawat, persembahan artis tarikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri

SHAH ALAM, 30 OGOS: Dato’ Menteri Besar mempelawa warga Selangor ke acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai program disediakan kepada pengunjung termasuk selawat dan munajat bersama Habib Ali Zaenal Abidin.

“Antara tarikan menarik adalah selawat dan munajat bersama Habib Ali Zaenal Abidin bermula pada jam 4.45 petang.

“Persembahan bunga api dan pelbagai aktiviti lain untuk seisi keluarga dan semua golongan,” katanya menerusi Facebook.

Dalam sambutan itu, Amirudin dijangka mengumumkan berita gembira untuk warga Selangor bagi membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi dan inflasi.

Selain itu, penyanyi terkenal Black Hanifah dan Ernie Zakri antara selebriti yang bakal memeriahkan program disamping beberapa persembahan lain antaranya tarian pelbagai bangsa dan nyanyian koir.

Turut diadakan persembahan kawad senyap dan tempur tanpa senjata, perarakan Anak Harapan Selangor serta jualan makanan.

Tahun ini, Selangor memilih tema Kita Selangor Teguh Bersama yang membawa maksud kebersamaan dan keberanian rakyat di pelbagai peringkat dalam menghadapi cabaran melanda.


Pengarang :