Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sidang dewan negeri lancar, 28 wakil rakyat sertai perbahasan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung dari 25 Julai hingga semalam berjalan lancar melalui penyertaan 28 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dalam sesi perbahasan.

Speaker berkata ramai Ahli Dewan Negeri (ADN) mengambil bahagian dalam perbahasan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menekankan hala tuju negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ng Suee Lim memaklumkan tujuh EXCO termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat penggulungan RS-1 yang dibahas selama tiga hari sejak Khamis.

“Persidangan kali ini agak panjang berbanding sebelum ini memandangkan ada urusan penting iaitu pelan tersebut yang perlu dibentang. Biasanya sidang pertengahan penggal hanya mengambil masa empat hari.

“ADN juga sangat aktif kerana biasanya satu usul dibahas lima atau enam orang, tetapi disebabkan RS-1 tidak pernah dibentangkan maka mereka mahu jadi sebahagian daripada sejarah,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui timbul beberapa isu pada persidangan kali ini berikutan ada wakil rakyat yang gagal mematuhi peraturan tetap, namun berjaya dikawal serta tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Persidangan juga sedikit terganggu kerana lima individu positif Covid-19 membabitkan EXCO dan ADN. Di akhir dewan saya sempat menasihatkan ADN lain supaya menjaga diri memandangkan virus masih di sekeliling,” katanya.

Terdahulu, Suee Lim mengumumkan kelulusan usul RS-1 bagi tempoh lima tahun mulai 2021-2025 setelah mendapat persetujuan ADN.

Rancangan memacu negeri dibentang Amirudin mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.


Pengarang :