EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping (empat, kanan) bergambar bersama barisan penaja dan panel hakim Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) di Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC), Shah Alam pada 23 Ogos 2022. Foto Sidec
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sidec anjur Top ECM edisi ketujuh, peluang 228 peniaga e-dagang rebut RM60,000

SHAH ALAM, 24 OGOS: Seramai 228 usahawan digital berpeluang merebut hadiah terkumpul RM60,000 menerusi Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Ketua Pegawai Eksekutif Yong Kai Ping berkata acara yang berlangsung pada Oktober itu bagi mengiktiraf peniaga digital cemerlang memasarkan produk dan perkhidmatan mereka menerusi platform e-dagang.

“Pada 2016, hanya 60 peniaga dalam talian menyertai anugerah sulung ini. Sebagai perbandingan, 2021 menyaksikan peningkatan seramai 181 peniaga dengan hasil jualan RM47 juta.

“Pertumbuhan mendadak ini menunjukkan industri e-dagang berkembang pesat, dan Sidec berada di sini untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang ini selepas mencatatkan jumlah jualan RM123 juta dalam tempoh enam tahun lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata Top ECM yang memasuki edisi ketujuh membuktikan Sidec berada di landasan betul dalam membina ekonomi digital selaras dengan visi Kerajaan Selangor menjadi Negeri Pintar menjelang 2025.

“Apa yang baik untuk negeri kita adalah baik untuk negara. Saya sangat berharap agar anugerah ini diperluaskan skopnya untuk membolehkan lebih banyak penyertaan daripada kategori yang berbeza,” katanya ketika merasmikan Top ECM di Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC), di sini.

Top ECM 2022 mendapat kerjasama daripada Affin Bank Berhad sebagai penaja utama sementara Subplace menjadi platform e-dagang rasmi dan Federal Express Services (FedEx) Malaysia, rakan logistik rasmi.

Ia akan menampilkan tiga anugerah utama iaitu Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards, Selangor E-Commerce Merchant Awards dan Affin Bank Special Awards (Rising Star dan AFFINGEM Women Trailblazer Awards).

Peserta akan dinilai oleh panel hakim dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Internet Alliance (IA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Top ECM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 hingga 9 Oktober turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial.

 


Pengarang :