Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan gambar dadah dan peralatan yang dirampas dari sindiket pengedaran dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Polis Johor
AGENDAJENAYAH

Sindiket dadah tumpas, jadikan rumah mewah ada pengawal pusat operasi

JOHOR BAHRU, 11 OGOS: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi dengan cara ubah suai atau mencuci dadah lama kepada jenis baharu seperti ‘ice’ dan syabu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kegiatan tersebut berjaya ditumpaskan menerusi tiga serbuan di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pekan Nenas, Pontian kelmarin, lapor portal Berita Harian.

“Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11.15 pagi itu, dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan bersama seorang lagi wanita berusia antara 32 hingga 49 tahun.

“Modus operandi sindiket terbabit yang beroperasi sejak Mac lalu adalah dengan menyewa apartment mewah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.

“Berdasarkan bahan kimia yang ditemui kita percaya ada proses pencucian iaitu dari dadah lama yang hendak dibaharukan iaitu dadah jenis ‘ice’ dan syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata polis merampas 11.13 kilogram (kg) syabu bernilai RM400,680; 4.23 kg ketamin bernilai RM233,090 serta 139 gram atau 440 biji pil erimin 5 bernilai RM10,425 dan keseluruhan rampasan dadah bernilai RM644,195.

Katanya, polis turut menyita enam kereta bernilai RM346,000, wang tunai RM109,840 dan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM7,758.


Pengarang :