KPDNHEP Selangor merampas peralatan digunakan dalam sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di beberapa lokasi negeri ini pada 9 hingga 11 Ogos 2022. Foto KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

Sindiket seleweng minyak diesel tumpas, 15 individu diberkas

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 26,050 liter minyak diesel bersubsidi dengan nilai lebih RM500,000 dalam beberapa siri serbuan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Mohd Khairi Jamaludin memaklumkan serbuan dengan kerjasama polis itu membabitkan kawasan Semenyih, Kota Damansara, Kapar dan Puchong pada 9 hingga 11 Ogos.

Menurutnya, seramai 15 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan serta ketirisan barang kawalan turut ditahan.

“Turut dirampas lori, tangki berisi minyak diesel, tangki kosong dan lain-lain dokumen relevan untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua kes berkenaan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan beberapa potensi kesalahan seperti Seksyen 20 (1) AKB 1961, Seksyen 7(4) AKB 1961 dan Seksyen 21 AKB 1961.

Jelasnya, denda tidak lebih RM1 juta boleh dikenakan bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“KPDNHEP akan meneruskan siasatan lanjut ke atas keempat-empat kes tersebut untuk mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terlibat secara langsung dalam aktiviti bersindiket ini.

“Kita sentiasa bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan serta subsidi demi kepentingan pengguna,” katanya.


Pengarang :