Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada sidang media mengenai pengurusan warga asing yang telah tamat pas lawatan sosial (PLS) di pejabatnya pada 21 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sistem pagar automatik KLIA diperluas kepada warga asing

SEPANG, 8 OGOS: Penggunaan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan diperluas kepada warga asing yang memegang pas lawatan jangka panjang bermula September ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Sistem pagar automatik tersebut ketika ini terhad kepada warga Malaysia.

Khairul Dzaimee berkata sistem berkenaan yang antara lain bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan kemasukan warga asing ke Malaysia, hanya boleh digunakan bergantung kepada jenis pasport yang digunakan warga asing.

“Hanya pasport yang ada cip dan mematuhi syarat ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) sahaja yang boleh menggunakan pagar automatik ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Jabatan Imigresen bersama agensi pelancongan di KLIA di sini hari ini.

Beliau berkata warga asing yang memegang pas lawatan jangka panjang merangkumi mereka yang bekerja dan belajar di Malaysia, ekspatriat, individu yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata libat urus berkenaan diadakan bagi mewujudkan kerjasama strategik antara pihak berkepentingan berkaitan pelancongan supaya mereka memahami urusan pemeriksaan Imigresen.

Sesi tersebut turut dihadiri pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia dan kemudiannya dibawa ke Balai Imigresen (Ketibaan) bagi mendengar penerangan daripada Ketua Operasi Imigresen KLIA James Lee.

– BERNAMA


Pengarang :