Skuad Selangor FC bawah 19 tahun menjuarai Piala Belia 2022 selepas menewaskan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1 dalam perlawanan akhir pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 26 Ogos 2022. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Skuad Selangor FC bawah 19 tahun juara Piala Belia 2022

TEMERLOH, 27 OGOS: Skuad Selangor FC bawah 19 tahun dinobatkan sebagai juara Piala Belia 2022 selepas menundukkan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1 selepas final pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini, malam ini.

Pada perlawanan malam ini, kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas Selangor FC menang 1-0 pada aksi final  pertama di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.

Pada babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat sebaik mungkin cuba mengatur gerakan untuk menghasilkan gol tetapi ia berakhir tanpa sebarang jaringan.

Selangor FC akhirnya berjaya membuka gol perlawanan apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Muhammad Amirul Haziq pada minit ke-67 separuh masa kedua, berjaya menggegar gawang tuan rumah.

Pasukan Tok Gajah, bagaimanapun, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi percubaan jarak jauh oleh Nazul Izamil Zulkifli.

Pasukan Sri Pahang FC bangkit untuk menokok jaringan pada minit akhir perlawanan dengan melancarkan beberapa serangan ke arah kubu lawan, namun keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

— BERNAMA

 


Pengarang :