Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2022 dibuka untuk semakan mulai hari ini hingga 14 September ini. Foto Facebook Bernama TV
AGENDA NASIONAL

SPR: Daftar pemilih tambahan Julai 2022 dibuka untuk semakan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2022 serta pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status digalakkan menyemak Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2022 (DPT BLN7/2022).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata semakan boleh dibuat mulai hari ini hingga 14 September melalui lima kaedah antaranya menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my.

“Selain itu semakan boleh dibuat menerusi portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu yang mendapati nama mereka tidak disenaraikan boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.

Sementara itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas sebarang kesilapan maklumat peribadi seperti nama dan alamat boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.

Ikmalrudin berkata Borang C dan D juga boleh dimuat turun menerusi portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan.

DPT BLN7/2022 yang diperakukan pada 15 Ogos dan diwartakan hari ini, mengandungi nama 40,989 orang warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Ia juga mengandungi nama 13,481 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,116 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

– BERNAMA


Pengarang :