Atlet lompat jauh kebangsaan Datuk Abdul Latif Romly (kanan) dan Zulkifly Abdullah (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang selepas tamat acara lompat jauh (T20) pada Sukan Para ASEAN ke-11 di Stadium Manahan pada 2 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Sukan Para ASEAN: Jaguh lompat jauh raih emas, tamat zaman bujang Disember

Daripada Vikneswaran Raman

SOLO (Indonesia), 2 OGOS: Juara Paralimpik sebanyak dua kali, Datuk Abdul Latif Romly meneruskan penguasaan di temasya Sukan Para ASEAN (APG) di sini, apabila merangkul pingat emas keempat berturut-turut dalam acara lompat jauh F20 (masalah intelektual).

Atlet berusia 25 tahun berasal dari Perlis itu, mempamerkan kehebatannya dengan lompatan sejauh 7.20 meter di Stadium Manahan di sini, untuk memastikan beliau membawa pulang emas dalam setiap penampilannya sejak edisi 2013 di Myanmar.

Walaupun jarak yang dicatatkan pagi ini masih rendah berbanding rekod dunia 7.64m yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Abdul Latif masih gembira kerana ia merupakan kejohanan pertama sejak hampir setahun berehat selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika mempertahankan emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada September lepas.

Rakan sepasukannya, Zulkifly Abdullah yang meraih gangsa pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, berjaya merampas perak daripada Suhairi Suhaini dari Singapura dengan catatan 6.43m, manakala wakil Singapura itu terpaksa berpuas hati dengan gangsa dengan lompatan 5.78m.

Bercakap selepas kejayaan itu, Abdul Latif yang juga juara dunia 2015 dan 2017, berkongsi bahawa akan berkahwin dengan teman sejak zaman sekolahnya pada Disember ini, selepas majlis bertunang berlangsung pada Oktober tahun lepas.

“Pingat ini saya dedikasikan kepada keluarga saya dan mungkin rezeki kahwin. Saya rasa ini mungkin pertandingan terakhir bagi tahun ini, selepas ini akan bersedia untuk menghadapi APG 2023 Kemboja, Kejohanan Dunia dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di China tahun depan bergantung kepada perancangan jurulatih,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :