Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi bergambar bersama atlet ketika Majlis Penutup Kem Kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 Fasa 1 di Hotel Grand Dorset, Subang pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

SUKMA 2022: Selangor yakin mampu kutip lebih 40 pingat emas

SUBANG JAYA, 30 OGOS: Majlis Sukan Negeri (MSN) yakin kontinjen Selangor mampu memperoleh lebih 40 pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, bulan hadapan.

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata sasaran itu berikutan Selangor pernah meraih lebih 50 pingat emas dalam temasya sukan yang sama sebelum ini.

“Kerajaan Negeri hanya sasarkan 40 emas, 40 perak dan 40 gangsa sahaja. Tapi kita mahu lebih dan kita sudah buat perkiraan atlet yang boleh beri pingat.

“Kita sebenarnya sasar Selangor mampu dapat lebih 50 emas kerana kita pernah capai tahap itu,” katanya ditemui pada Majlis Penutup Kem Kontinjen Selangor ke SUKMA 2022 di Hotel Grand Dorsett hari ini.

Beliau turut menyampaikan amanat kepada 180 atlet membabitkan acara tinju, olahraga, ragbi, kriket, hoki, dan beberapa sukan lain.

Sebelum ini, MSN Selangor kekal dengan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga terbaik dengan kutipan 40 emas pada penganjuran SUKMA ke-20 mulai 16 hingga 24 September.

Sebanyak 31 jenis sukan dan 445 acara bakal berlangsung bagi edisi kali ini di sekitar Lembah Klang.


Pengarang :