DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan watikah kepada mantan Ketua hakim Besar Malaya Tan Sri Datin Paduka Zaharah Ibrahim yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 17 Ogos 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan berkenan serah watikah kepada Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan baharu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah pelantikan pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) kepada mantan Ketua Hakim Besar Malaya hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyerahkan watikah kepada Tan Sri Datin Paduka Zaharah Ibrahim selepas lantikan yang berkuat kuasa 30 Jun lalu hingga 29 Jun 2024 diperkenan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-259.

“JPIK ini dinaik taraf daripada Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 1988.

“Jawatankuasa ini antara lain bertujuan membincangkan penyeragaman undang-undang syariah dan pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah di Malaysia,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Serahan watikah berlangsung di Istana Bukit Kayangan di sini turut disaksikan ahli-ahli jawatankuasa JPIK.

Turut serta mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Professor Dato’ Sri Dr Zaleha Kamarudin dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato’ Setia Dr Mohd Naim Mokhtar.


Pengarang :