DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Alimuddin Mohd Dom sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMA

Sultan perkenan bekas KP pelajaran ketuai Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan MKI

SHAH ALAM, 21 OGOS: Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang baharu.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook, perlantikan yang mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu berkuatkuasa 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-259 yang bersidang pada 30 Jun 2022 telah memperkenankan pelantikan ini berkuatkuasa 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024,” maklum kenyataan tersebut.

Berlangsung di Istana Bukit Kayangan di sini, majlis penyampaian watikah turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Professor Dato’ Dr Wan Kamal Mujani.

Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan ini ditukar nama daripada Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada tahun 1983.

Keanggotaan jawatankuasa ini terdiri dari wakil bagi negeri masing-masing yang dilantik oleh Raja Pemerintah Negeri itu dan enam ahli lantikan Majlis Raja-Raja.


Pengarang :