Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat gerai buah-buahan tempatan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di Pavilion Selangor sambil diriingi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Serdang pada 9 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Sediakan pelan jangka panjang jamin bekalan makanan di Selangor

SHAH ALAM, 10 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor meminta Kerajaan Negeri menyediakan pelan jangka panjang lebih menyeluruh mencakupi aspek jaminan bekalan makanan untuk rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keutamaan diberikan kepada keseimbangan pengeluaran produk makanan industri dan pengeluaran hasil tani oleh perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Baginda juga tidak mahu berlaku sebarang gangguan terhadap sumber bekalan makanan untuk rakyat sedangkan Selangor antara pengeluar signifikan pelbagai produk pertanian dan hasil ternakan.

“Paling penting titah Baginda, produk makanan yang dihasilkan haruslah berkualiti tinggi dan dipasarkan pada harga berpatutan demi kelangsungan hidup rakyat.

“Untuk itu, Baginda menyeru Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Universiti Putra Malaysia melaksanakan kajian ke arah penghasilan produk hasil tani dan ternakan yang lebih bermutu dan memastikan bekalannya sentiasa mencukupi,” menurut Selangor Royal Office di Facebook, hari ini.

Saranan Sultan Selangor itu selepas Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia, semalam.

Baginda meluangkan masa lebih empat jam di pameran berkenaan termasuk berkunjung ke Dewan Pameran Utama, Pavilion Negeri Selangor, Laman Agrofood Ternakan, Sayuran, Miracle Garden dan Castle of Fruits.

Baginda turut tertarik dengan pelbagai hasil pertanian menggunakan teknologi terkini dan turut diusahakan secara kecil-kecilan oleh rakyat, namun memiliki potensi pemasaran yang tinggi.

Pada masa sama, Baginda menggesa agar setiap rakyat menggiatkan aktiviti bercucuk tanam dan mengusahakan ternakan supaya dapat menikmati hasilnya untuk manfaat sendiri dan keluarga.


Pengarang :