Poster ucapan tahniah yang dizahirkan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sempena sambutan ulang tahun ke-132 Majlis Perbandaran Klang. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan zahir tahniah ulang tahun ke-132 MPK, titah kekalkan sejarah dan warisan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor mengucapkan tahniah kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) sempena ulang tahun ke-132.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan syukur atas usaha MPK menelusuri fasa kejayaan dan cabaran sejak zaman penjajahan serta kemelesetan ekonomi.

Baginda berdua bertitah pihak berkuasa tempatan itu turut berdepan cabaran perang dunia, darurat, kemerdekaan dan pandemik, yang mematangkan gerak kerja dan pentadbiran sehingga membangun pesat.

“Namun di sebalik pembangunan ini, Baginda berharap MPK tidak alpa dengan status Klang sebagai Bandar Diraja dan tidak mengabaikan aspek sejarah dan warisan Klang,” menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di Facebook.

Baginda turut menzahirkan hasrat supaya Klang dinaik taraf menjadi bandar raya Diraja selain menjadikannya sebuah lokasi yang bersih dan memiliki daya tarikan warisan bersejarah.

Baginda juga berharap MPK akan terus mempromosikan industri pelancongan di lokasi menarik dan bersejarah, sekali gus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk daerah tersebut.

Selain itu, baginda mahu usaha untuk memberi perkhidmatan cemerlang dan terbaik kepada masyarakat terus dipertingkat selain memastikan warganya hidup harmoni dengan persekitaran selamat dihuni.

“Baginda berharap agar warga Klang sentiasa bekerjasama dengan MPK dalam menjaga kebersihan khususnya Sungai Klang serta menghargai Bandar Diraja, selaras slogan Klang Sihat dan Sejahtera.

“Baginda turut mendoakan semoga Klang selaku Bandar Diraja Selangor akan terus kekal makmur, harmoni serta sejahtera,” menurut kenyataan itu lagi.


Pengarang :